Lama sudah aku tak update blog kan? Apatah lagi berkarya dengan nukilan sendiri. Pagi aku terpanggil untuk lakukan senaman jari. Aku menyepi buat sekian lama sekadar menjadi pemerhati di jendela LCD ini. Bukan aku tak rindu sahabat semua cuma jari jemari milik hamba Allah ini menjadi kaku bila ada permintaan tarian papan kekunci meluahkan apa yang terbuku dihati. Hanya Allah yang tahu betapa aku tidak mahu menghapus semua karya-karya ku dulu.
Bukan sehari dua aku memerhati kehidupan kesayangan-kesayangan ku dari helaian maya mereka. Tapi hari ini baru aku cukup kuat untuk berkata sepatah dua.
Wahai kesayangan ku,
Aku sudah pun meminta maaf walaupun sukar untuk kau maafkan aku,aku mengerti. Hati ku kasih hati ku sayang. Tapi aku tak terdaya. Aku hanya berpegang kepada sepotong ayat ini.
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
Harap kau juga begitu dulu,kini dan kelak. Sungguh benar janji Allah kerana walaupun kau pernah terlebih dahulu melalui ujian seperti aku bahkan lebih lagi tetapi kerana aku sayang kan kau aku ingin sama-sama mengingatkan diri ini dan diri mu.
"Ujian hidup itu hadiah Allah"
Aku pernah mendengar seseorang berkata...tatkala Allah rindukan hambanya Dia akan mengutuskan Jibril a.s memberi kepada hamba yang dirinduiNya...hadiah itu berupakan UJIAN dalam kehidupan hamba2 yang dirinduiNya..Maka bergembiralah kita tatkala kita diuji kerana kita sebenarnya dirindui Yang Maha Mencipta...
Aku teramat yakin pada janji Allah bila kita redha dengan ujian Allah, Allah akan melipat gandakan ganjaranNya kepada kita. Aku belajar tentang erti kesabaran bila diuji,harap kau juga bersabar bila diuji. Sebahagian dari kesabaran itu aku belajar dari mu,wahai kesayanganku. Jadi aku percaya kau sesungguhnya bisa bersabar lebih hebat dari ku.
Aku mengumpul kekuatan dari dasar keperayaan ku kepada janji-janji dan kata-kata Allah dan RasulNya.Harap kau juga begitu kerana aku tidak sanggup melihat kesayangan ku berduka...
Yakinlah wahai kesayanganku sesungguhnya "UJIAN ITU HADIAH DARI ALLAH, jika kau redha dan bergantung harap dengan kekuasaan dan kehendakNya,Dia akan memberikan ganjaran yang sangat manis buat mu...
Solat dan doa akan banyak membantu. Ditengah malam yang hening seperti kata Rasulullah di sepertiga malam bangunlah. Pertama aku dan aku akan bersolat taubat semoga Allah terima taubat kita dan memakbulkan permintaan kita, kemudian kita sama-sama akan bersolat hajat. Kemudian jika masih lagi mampu kita bertahajud bersama-sama. Semoga Allah bantu kita untuk kuat tempuhi ujian.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- Tweet
No comments:
Post a Comment